- Home >
- Biografi Tokoh dan Ulama >
- SEKH ABDUL HAMID KUDUS
Syeikh Abdul Hamid Kudus lahir di Mekah, dalam
Mukhtashar Nasyrun Naur waz Zahar dinyatakan lahir 1277 H/1860 M, dan
dalam Siyar wa Tarajim dinyatakan lahir 1280 H/1863 M. Beliau juga wafat
di Mekah tahun 1334 H/1915 M. Nama lengkap ialah Syeikh Abdul Hamid bin
Muhammad Ali Qudus / Kudus bin Abdul Qadir al-Khathib bin Abdullah bin
Mujir Qudus / Kudus.
Syeikh Abdul Hamid Kudus mendapat pendidikan
asas pertama sekali dari lingkungan keluarganya yang ramai menjadi
ulama. Sejak kecil menghafaz al-Quran dan terlatih dengan banyak matan
pelbagai bidang ilmu. Matan-matan yang dihafalnya sejak kecil ialah Matn
al-Ajrumiyah, Matn al-Alfiyah, Matn ar-Rahbiyah, semuanya dalam bidang
ilmu nahu. Matn as-Sanusiyah tentang ilmu akidah. Matn as-Sullam dan
Matn az-Zubad, kedua-duanya meliputi akidah, fikah dan tasawuf. Para
ulama besar yang terkenal dan menjadi guru beliau ialah Sayid Ahmad bin
Zaini Dahlan, Sayid ``Utsman Syatha dan saudaranya Sayid Abu Bakri
Syatha. Dalam bidang khusus mengenai ushul fiqh, hadis, tafsir dan
tasawuf Syeikh Abdul Hamid Kudus memperdalamkannya kepada Sayid Husein
al-Habsyi. Syeikh Abdul Hamid Kudus pula adalah orang kepercayaan Syeikh
Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dalam bidang keilmuan setelah
Syeikh Ahmad al-Fathani. Hubungan antara Syeikh Abdul Hamid Kudus dengan
Syeikh Ahmad al-Fathani sangat rapat. Syeikh Abdul Hamid Kudus selain
dilantik sebagai salah seorang pentashih kitab beliau seringkali diutus
oleh Syeikh Ahmad al-Fathani ke Mesir dalam urusan cetak mencetak kitab,
terutama hubungan dengan Syeikh Mushthafa al-Halaby, pemilik syarikat
cetak kitab yang terbesar di Mesir pada zaman itu.
Daripada
ulama-ulama tersebut, Syeikh Abdul Hamid Kudus memperoleh ijazah khusus
dan umum, dan mereka pula memberikan keizinan kepada beliau mengajar di
Masjidil Haram dan di rumahnya. Manakala Syeikh Ahmad al-Fathani
merintis jalan mulai belajar di Masjid Jamik Al-Azhar (tahun 1290 H/1872
M) Syeikh Abdul Hamid Kudus mengikuti langkah Rais thala'ah (Ketua
tela'ah atau tutor)nya itu belajar di tempat yang sama (1300 H/1882 M).
Syeikh Abdul Hamid Kudus merupakan generasi kedua mahasiswa dunia Melayu
yang belajar di al-Azhar sesudah Syeikh Ahmad al-Fathani, sejak itu
beliau sentiasa pulang pergi antara Mekah dan Mesir dalam urusan
tertentu yang ada kaitannya dengan kerja-kerja Syeikh Ahmad al-Fathani.
Sebenarnya
Syeikh Abdul Hamid Kudus telah mengarang pelbagai judul dalam banyak
disiplin ilmu, semuanya dalam bahasa Arab. Walau bagaimana pun pada
judul artikel ini saya sebut bahawa beliau adalah ``pakar ilmu arudh dan
qawafi''. Kedua-duanya termasuk dalam bidang ilmu kesusasteraan Arab.
Dengan ilmu ini dapat diketahui bagaimana timbangan-timbangan syair dan
nazam dalam bahasa Arab. Setakat ini informasi yang ada hanya dua orang
ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menulis dalam kedua-dua ilmu
tersebut. Seorang lagi ialah Syeikh Ahmad al-Fathani `Rais Thala'ah'
bagi Syeikh Abdul Hamid Kudus. Karangan Syeikh Abdul Hamid Kudus yang
ada pada saya adalah sebagai berikut:
1. Irsyadul Muhtadi ila
Syarh Kifayatil Mubtadi, diselesaikan sesudah Zuhur, hari Khamis, 3
Muharam 1306 H. Kandungannya membicarakan akidah dan ia merupakan syarah
daripada karya ayahnya, Syeikh Muhammad Ali Kudus. Dicetak oleh
Mathba'ah al-Maimuniyah, Mesir, Ramadan 1309 H. Di bahagian tepinya
dicetak matan karya ayahnya, Syeikh Muhammad Ali Kudus tersebut.
Ditashih oleh Muhammad az-Zahari al-Ghamrawi.
2. Al-Anwarus
Saniyah `alad Duraril Bahiyah, diselesaikan pertengahan Rabiulakhir 1311
H. Kandungannya membicarakan akidah, fikah dan tasawuf. Merupakan
syarah daripada karya gurunya Sayid Abi Bakar Syatha. Cetakan pertama,
Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah Mekah, 1313 H.
3. Fat-hul Jalilil
Kafi bi Mutammimati Matnil Kafi fi `Ilmayil `Arudh wal Qawafi,
diselesaikan pada hari Isnin, 19 Rabiulawal 1313 H. Kandungannya
membicarakan ilmu arudh dan qawafi atau kesusasteraan Arab. Dicetak oleh
Mathba'ah al-Husainiyah al-Mashriyah, milik Muhammad Abdul Lathif
Khathib, 1325 H. Kata pujian oleh Sayid Ahmad Bik al-Huseini, Muhammad
Musa al-Bujiraimi as-Syafi'ie di al-Azhar, Muhammad al-Halaby
as-Syafi'ie di al-Azhar dan Ahmad ad-Dalbasyani al-Hanafi di al-Azhar.
Ditashih oleh Muhammad az-Zahari al-Ghamrawi.
4. Al-Futuhatul
Qudsiyah fi Syarhit Tawassulatis Sammaniyah, diselesaikan pada Zuhur,
akhir Muharam 1322 H. Kandungan pada muqaddimahnya pengarang menyebut
bahawa beliau adalah penganut Mazhab Syafie dalam fikah, Mazhab Abu
Hasan al-Asy'ari dalam akidah, dan penganut Thariqat Khalwatiyah.
Sebab-sebab beliau menulis kitab ini adalah atas permintaan Qadhi
Muslimin Negeri Surakarta ibu kota Jawa, beliau ialah Al-'Allamah
al-Hamam asy Syeikh Raden Tabshirul Anam, supaya menulis syarah matan
Al-Qashidatur Rajziyah yang bernama Jaliyatul Kurbi wa Manilatu `Arabi.
Pada awal perbicaraan pengarang menyebut tentang sanad-sanad thariqat,
di antaranya beliau juga mempunyai hubungan dengan Syeikh Abdus Shamad
bin Abdur Rahman al-Falimbani. Dicetak oleh Mathba'ah al-Hamidiyah
al-Mashriyah, 1323 H. Taqriz dinyatakan ramai ulama tetapi yang dapat
disebut pada akhir karangan hanya dua orang ulama saja ialah Syeikh
Jami' Al-Azhar, bernama Syeikh Abdur Rahman asy-Syarbaini asy-Syafi'ie
dan Syeikh Muhammad Thumum al-Maliki Al-Azhari. Kitab ini dimiliki
pertama oleh Muhammad Thaiyib bin Sulaiman ahli Pekalongan pada 7 Rejab
1323 H. Sesudah itu dimiliki oleh Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Haji
Hasan, Qadhi Muar, Johor dan pada hari Isnin, 13 Rabiulakhir 1420 H/26
Julai 1999 M diserahkan kepada saya oleh Haji Muhammad bin Haji Abu
Bakar bin Haji Hasan, Qadhi Muar, Johor.
5. Lathaiful Isyarat ila
Syarhi Tashilit Thuruqat li Nazhamil Waraqat fil Ushulil Fiqhiyah,
diselesaikan pada hari Isnin, 12 Rabiulawal 1326 H. Kandungannya
membicarakan ilmu ushul fiqh. Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan, di
antaranya Mathba'ah Dar at-Thiba'ah al-Mashriyah, 54-60 Baserah Street
Singapura (tanpa tahun).
6. Kanzun Najahi was Surur fil Ad'iyatil
lati ila Tasyarruhis Shudur, diselesaikan pada hari Jumaat, bulan Safar
1328 H. Kandungannya membicarakan berbagai-bagai amalan wirid, doa,
zikir dan lain-lain. Cetakan pertama oleh Mathba'ah At-Taraqqil
Majidiyah al-'Utsmaniyah, Mekah, 1330 H. Kata pujian oleh Syeikh
Muhammad Sa'id bin Muhammad Ba Bashail, Mekah, Sayid Husein bin Muhammad
bin Husein al-Habsyi, Sayid Umar bin Muhammad Syatha, Sayid Muhammad
ibnu Sayid Muhammad ibnu al-Faqih Sayid Idris al-Qadiri al-Maghribi
al-Hasani, Syeikh Muhammad bin Syamsuddin, Syeikh Yusuf bin Ismail
an-Nabhani, dan Syeikh Umar Hamdan.
Karangan Syeikh Abdul Hamid Kudus yang belum saya miliki ialah:
7. Risalah fi al-Basmalah min Nahiyah al-Balaghah.
8. Manzhumah fi al-Adab wa al-Akhlaq li al-Islamiyah.
9. Thali'us Sa'di ar-Rafi' fi Syarh Ilm al-Badi', kitab ini membicarakan ilmu badi'.
10. Fiqh Rubu' `Ibadat.
11. Nubzah fi at-Tashauwuf.
12. Ad-Durrah ats-Tsaminah fi al-Mawadhi' allati tusannu fiha ash-Shalah `ala Shahib as-Sakinah.
13. Tasythir al-Mudharriyah fi ash-Shalah `ala Khairil Bariyah.
14. Majmu' Bulugh al-Maram fi Maulid an-Nabiyi Shallalahu `alaihi wa Sallam.
15. Raja' Nail al-As'ad wa al-Qabul fi Madah Saiyidatina az-Zahra' al-Batul.
16. Bulughus Sa'di wa al-Amniyah fi Madah Umm al-Mu'minin al-Mabra-ah ash-Shiddiqiyah.
17. al-Jawahir al-Wadhiyah fi al-Adab wa al-Akhlaq al-Mardhiyah.
18. az-Zakhair al-Qudsiyah fi Ziyarah Khairil Bariyah.
19. At-Tuhfah al-Mardhiyah fi Tafsir al-Quran al-'Azhim bi al-'Ajamiyah.
20. Dhiyausy Syamsi ah-Dhahiyah.
21. Maulidun Nabiyi Shallalahu `alaihi wa Sallam.
22. Kanzul `Atha fi Tarjamah al-'Allamah as-Saiyid Bakri Syatha.
Syeikh
Abdul Hamid Kudus adalah seorang ulama yang sangat bertuah kerana
melahirkan seorang anak yang menjadi ulama besar yang warak, yang
meneruskan perjuangannya, iaitu Syeikh Ali bin Syeikh Abdul Hamid Kudus
as-Samarani. Beliau dilahirkan tahun 1310 H/1892 M dan wafat pada hari
Isnin, 14 Syawal 1363 H/1 Oktober 1944 M.
Syeikh Ali anak Syeikh
Abdul Hamid Kudus mendapat pendidikan langsung daripada ayahnya.
Selanjutnya juga belajar kepada Syeikh Muhammad Mahfuz Termas, Syeikh
Muhammad Mukhtar bin Atharid al-Bughri (Bogor), kedua-duanya adalah
ulama yang berasal dari dunia Melayu yang pengetahuannya setaraf dengan
ulama-ulama bangsa Arab yang berada di Mekah pada zaman itu. Syeikh Ali
Kudus selain mempusakai martabat ulama seperti ayahnya, Syeikh Abdul
Hamid Kudus sekali gus beliau juga menghasilkan karangan, di antaranya
ialah ar-Raddu `ala ar-Rawafidh. Kandungannya merupakan penolakan
pegangan golongan Rafidhiyah, iaitu salah satu firqah golongan Syiah
yang dianggap menyeleweng daripada ajaran Islam. Selain itu beliau juga
menulis banyak artikel yang dimuat dalam majalah. Dalam tahun 1343
H/1925 M Syeikh Ali Kudus bersama keluarganya pindah dari Mekah ke Jawa
Timur mendirikan sebuah madrasah di sana. Selanjutnya pindah pula ke
Sulawesi, di sana juga menyebarkan ilmu-ilmu demi memartabat agama Islam
yang dianutnya.